Individu Ugut Bunuh Firdaus Wong Diberkas

KUALA LUMPUR: Lelaki yang bertindak membuat ugutan bunuh ke atas pendakwah bebas Firdaus Wong susulan kenyataan berhubung isu pembinaan kuil di atas tanah milik pihak lain telah ditangkap

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Shahrulnizam Ja’afar, berkata turut dirampas adalah telefon bimbit yang digunakan untuk membuat mesej ugutan bunuh tersebut.

Katanya, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat Firdaus jam 4.18 petang kelmarin.

“Hasil daripada risikan dan siasatan, pada jam 1.30 tengah hari Sabtu bertempat di pekarangan Balai Polis Damansara, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dan Balai Polis Damansara menahan suspek,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shahrulnizam, pemilik akaun Facebook terbabit menghantar satu pesanan suara dengan kata-kata cacian dan ugutan bunuh sehingga menimbulkan ketakutan ke atas keselamatan diri pengadu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu melakukan ugutan jenayah dan menakutkan secara jenayah dengan menggunakan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi.

“Kes masih dalam siasatan pihak polis dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-5693864,” katanya lagi.

Terdahulu, Firdaus Wong membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh di media sosial Facebook, susulan kenyataannya berhubung isu pembinaan kuil atas tanah milik pihak lain.

Firdaus, 40, berkata ugutan itu diterima dalam mesej peribadi Facebook oleh satu akaun media sosial berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan memainkan peranan sebagai jambatan dalam rundingan antara pihak swasta yang juga pemilik tanah di Jalan Masjid India di sini, serta kuil Dewi Sri Pathrakaliamman bagi mencari penyelesaian adil tanpa menyentuh mana-mana kaum.

BBerkaitan

Latest articles