KUALA LUMPUR: Segala bukti berkaitan salah laku seorang pendakwah, seperti mesej dan video lucah perlu terus diberikan kepada pihak polis.
Demikian tegas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan terhadap tindakan individu-individu yang menyebarkan ia sebagai ‘bukti’ berkaitan pendakwah berkenaan menerusi medium media sosial Telegram.
Ujarnya tindakan sedemikian mengganggu proses polis untuk melengkapkan kertas siasatan berkenaan sebelum ia dirujuk kepada pihak Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.
“Seharusnya penyebar video dan mesej yang mendakwa ia sebagai bukti berkait perlu tampil kepada Polis Diraja Malaysia untuk membantu melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, hari ini.
Sehubungan itu, menurut Abd Jalil, pihaknya akan memanggil mereka yang menyebarkan video dan mesej tular terbabit dalam masa terdekat.
Untuk rekod, pada Ogos lalu, satu kertas siasatan telah dibuka berhubung dakwaan gangguan seksual dilakukan pendakwah itu.
Dalam pada itu, PDRM, menerusi kenyataan terbaru pada semalam memaklumkan, membuka siasatan berhubung penularan video serta mesej lucah tersebut di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
Pelbagai pihak memberi perhatian terhadap dakwaan salah laku seorang pendakwah apabila tulat tangkap layar mesej perbualan di aplikasi media sosial serta video lucah di aplikasi Telegram, yang tersebut sejak beberapa hari lepas.