Imigresen Selangor Tahan 147 Warga Asing Dalam ‘Ops Sapu’, Guna Kamera Badan Tingkat Ketelusan Operasi

KUALA LUMPUR — Seramai 147 warga asing berjaya ditahan dalam satu operasi bersepadu ‘Ops Sapu’ yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Selangor di sekitar Amanpuri dan Taman Wangsa Permai, Sungai Buloh, malam tadi.

Operasi yang bermula kira-kira 8.30 malam itu melibatkan seramai 177 pegawai pelbagai agensi, termasuk 112 pegawai Jabatan Imigresen Selangor, 28 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tujuh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, 10 pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta 15 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin, pemeriksaan di Taman Wangsa Permai mendapati 68 warga asing ditahan daripada 84 individu yang diperiksa.

“Di lokasi kedua di Desa Amanpuri, seramai 153 individu diperiksa dan 78 orang ditahan. Jika digabungkan, jumlah keseluruhan yang ditahan ialah 147 orang yang terdiri daripada pelbagai negara termasuk Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Thailand, Nigeria dan China.

Bagaimanapun, katanya, 33 individu dibebaskan di lokasi selepas didapati memiliki pasport dan permit kerja yang sah.

“Mereka yang selebihnya akan dibawa ke depot imigresen untuk siasatan lanjut di mana antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, serta masuk atau berada di negara ini tanpa pas atau permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama,” katanya ketika ditemui selepas operasi bersepadu itu malam tadi.

Antara warg asing Tanpa Izin yang ditahan oleh Imigresen Selangor Dalam OPS Sapu di Sungai Buloh, Selangor malam ini – Foto TRi

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Kawalan), Mohamad Khusairi Kamarudin, berkata dalam operasi kali ini pihaknya turut menggunakan kamera badan bagi meningkatkan ketelusan, membantu penguatkuasaan serta mengelakkan sebarang tohmahan terhadap pegawai bertugas.

“Ia membantu dari segi pengoperasian, mengelakkan sebarang tohmahan serta meningkatkan tahap integriti dan ketelusan, selaras dengan transformasi Jabatan Imigresen,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kadar pematuhan majikan, Aminus berkata tahap pematuhan majikan di Selangor menunjukkan peningkatan, berdasarkan operasi sebelum ini termasuk di Pulau Indah, Klang, yang menyaksikan kehadiran majikan membawa dokumen sah pekerja mereka keesokan hari selepas operasi dijalankan.

“Ini menunjukkan kesedaran semakin meningkat dalam kalangan majikan untuk menggaji pekerja asing secara sah. Walaupun jumlah warga asing ramai, bukan semuanya melakukan kesalahan,” katanya.

Beliau menegaskan operasi bersepadu seperti ini akan diteruskan sepanjang tahun selaras dengan petunjuk prestasi utama (KPI) Jabatan Imigresen Malaysia, melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguat kuasa.

“Tangkapan malam ini akan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles