Imej PN Tercalar, Hubungan Dengan Pas Retak, Wan Fayshal Desak Muhyiddin Berundur

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa supaya berundur secara terhormat daripada jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan kontroversi membabitkan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang dinafikan oleh Pas.

Desakan itu disuarakan Ahli Majlis Pimpinan Bersatu yang digantung, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal, yang menyifatkan tindakan Muhyiddin telah mencemarkan imej PN di mata rakyat serta menjejaskan hubungan Bersatu dengan parti-parti komponen, khususnya Pas.

Menurut Wan Fayshal, sebagai Presiden Bersatu, Muhyiddin tidak tertakluk kepada sebarang tindakan disiplin oleh Lembaga Disiplin parti, namun tanggungjawab moral tetap perlu dipikul demi kepentingan gabungan dan keyakinan rakyat.

“Demi kelangsungan Bersatu dan PN, saya dengan penuh rasa tanggungjawab sekali lagi memohon supaya Tan Sri Muhyiddin berundur secara terhormat sebagai Presiden Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menegaskan, Muhyiddin perlu meletakkan jawatan segera bagi meredakan ketegangan dalaman serta memulihkan hubungan dengan rakan-rakan komponen dalam PN.

Wan Fayshal turut mendakwa, surat jawapan balas yang tersebar kepada media membuktikan Muhyiddin secara sengaja menyimpang daripada keputusan yang telah dipersetujui bersama, dengan tujuan untuk kembali memegang jawatan Pengerusi PN.

Semalam, Pas secara terbuka menafikan dakwaan bahawa jawatan Pengerusi PN telah dimansuhkan seperti yang terkandung dalam surat Presiden Bersatu itu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan isu tersebut tidak pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh Pas, termasuk dalam pertemuan yang diadakan pada 16 Januari lalu.

Malah, Abdul Hadi menegaskan pendirian Pas kekal bahawa jawatan Pengerusi PN perlu dikekalkan dan diurus selaras dengan peruntukan Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.

BBerkaitan

Latest articles