KOTA KINABALU, 12 Sept — Kajian awal pra pilihan raya yang dijalankan oleh Ilham sepanjang Jun lalu mendapati Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada di hadapan berbanding parti-parti lain, dengan kelebihan sebagai parti pemerintah.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar berkata hasil kajian, mereka mendapati sokongan politik di Sabah banyak dipengaruhi faktor personaliti calon, selain isu rentas negeri seperti rasuah dan kelemahan infrastruktur. Walaupun isu ini menjadi perhatian pengundi, terutamanya golongan muda, namun penilaian di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih tertumpu kepada prestasi serta pengaruh calon setempat.
“Politik Sabah unik kerana personaliti dominan dalam setiap DUN. Apa yang berlaku di peringkat negeri sering tenggelam apabila pengundi menilai calon dan penyandang di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.
Kekuatan dan Cabaran Parti
GRS dijangka mengekalkan kelebihan kerana faktor penyandang dan keupayaan jentera kerajaan, sementara Parti Warisan dilihat masih kuat di kawasan Pantai Timur, khususnya Tawau dan Kalabakan. Namun, Warisan berdepan cabaran menembusi kawasan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR).
Pakatan Harapan (PH) pula kekal berpengaruh di kawasan bandar utama seperti Sandakan dan Kota Kinabalu.
Bagi kawasan KDMR, Parti Bersatu Sabah (PBS), STAR serta parti baharu, Parti KDM pimpinan Datuk Peter Anthony, sedang bersaing rapat. Parti KDM khususnya dilihat mula mendapat tempat melalui peranan wakil rakyat seperti Datuk Wetrom Bahanda.
UMNO, sebaliknya, didapati masih bergelut untuk meraih keyakinan pengundi, khususnya generasi muda, berikutan isu perpindahan parti dan persepsi bahawa UMNO bukan lagi dominan selepas 2018.
Undi Muda Jadi Penentu
Ilham menegaskan bahawa pengundi muda bakal menjadi penentu utama dalam pilihan raya negeri akan datang. Golongan berumur 18 hingga 40 tahun di Sabah merangkumi hampir 60 peratus pengundi di sesetengah DUN, manakala segmen 18 hingga 20 tahun sahaja membentuk sekitar 6 hingga 8 peratus.
“Pengundi muda ini adalah kelompok ‘undecided voter’ yang besar. Gagal menawan hati mereka boleh menjejaskan peluang mana-mana parti untuk menang di DUN masing-masing,” kata laporan itu.
Ilham merumuskan bahawa meskipun terdapat cabaran daripada parti lawan, kelebihan penyandang dan penguasaan jentera memberikan GRS kelebihan berbanding parti lain setakat ini, tanpa mengambil kira perkembangan terbaharu melibatkan isu Zara.