Ilham Centre Jangkakan Kemenangan BN Di 35 Kerusi DUN Johor

KUALA LUMPUR: Kajian di lapangan yang dijalankan Ilham Centre baru-baru ini menjangkakan Barisan Nasional (BN) mampu memperolehi kemenangan selesa dengan sekurang-kurangnya di 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok.

Manakala Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR-DAP-Amanah hanya mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang dimenangi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

Manakala baki 11 lagi kerusi DUN sukar untuk diramal kemenangan berpihak kepada mana-mana parti, memandangkan persaingan sengit antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.

Kerusi-kerusi berkenaan adalah Paloh, Endau, Simpang Jeram, Kemelah, Bekok, Tangkak, Yong Peng, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Kempas dan Kota Iskandar.

“Dapatan kami menunjukkan BN dominan di segmen komposisi etnik Melayu 70%, manakala bagi komposisi etnik bukan Melayu 50-69%, walaupun PN dan PH memberi saingan hebat, namun secara teknikalnya kemenangan akan berpihak kepada BN.

“Sebagai contoh di DUN Gambir, semakin tinggi sokongan yang diperolehi PN dalam kalangan pengundi Melayu, kemenangan masih lagi memihak kepada BN kerana PN tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan.

“Ini berlaku kerana undi tersebut berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperoleh kemenangan,” katanya.

Kajian yang dijalankan Ilham Centre itu melibatkan 1,391 responden pengundi berdaftar di Johor mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

“Beberapa faktor adalah pengaruh calon yang bertembung dan jangkaan keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan pengundi Cina dan pecahan undi Melayu yang diterima BN dan PN.

“Faktor penyusutan ini mungkin berada pada paras 55% dalam kalangan pengundi Cina. Penyusutan ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pembangkang untuk bertahan di kerusi-kerusi yang dinyatakan di atas,” menurut dapatan berkenaan.

Mengulas kemerosotan jumlah kerusi yang bakal dimenangi PH berbanding PRU14, badan kajian itu berpandangan ia berpunca dari kegagalan tokoh yang benar-benar boleh diyakini untuk menyatukan semua parti pembangkang.

Apatah lagi dengan dua rekod kekalahan terus PH di Melaka dan Sarawak, beberapa bulan lalu.

Ini juga mendorong kepada prestasi lemah gabungan berkenaan untuk mengulangi kemenangan pada PRU akan datang.

“PN menjadi saingan utama kepada BN namun peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini menyebabkan mereka gagal mengatasi BN,” katanya.

Mengenai pengundi baharu seramai 869,362 atau 33.5% daripada jumlah undi, kajian itu tidak menolak faktor keluar mengundi dalam segmen berkenaan dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti diharapkan oleh pihak tertentu untuk membuat perubahan.

“Kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat serta terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat,” menurut kajian itu lagi.

Johor mempunyai 56 DUN yang dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon Utara meliputi 16 DUN dari Buloh Kasap sehingga Sungai Balang, Zon Tengah dari Semerah sehingga Kahang, Zon Timur bermula Endau sehingga Tanjung Surat dan Zon Selatan dari Tiram sehingga Kukup

BBerkaitan

Latest articles