Ikut saranan KKM jika mahu menang lawan covid-19

Sekiranya angka kes positif Covid-19 terus meningkat dan kes kematian juga terus dicatatkan setiap hari, ia pasti menjadi alasan kukuh untuk negara kita memanjangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas 28 Jun ini.

Tak perlu netizen di media sosial pura-pura terkejut jika pada 28 Jun nanti kes positif harian terus tinggi melepasi 4,000 kes sehari, tiba-tiba kerajaan mengumumkan penyambungan PKP 3.0 ini.

Kenapa tak perlu terkejut? Kerana jauh dari sudut hati kita masing-masing sudah boleh menjangka dan mengetahui sifir yang digunakan. Kes harian tinggi, maka tiadalah rentas daerah, rentas negeri seperti dahulu lagi.

Namun sampai bila PKP 3.0 ini akan berterusan? Adakah sehingga 31 Disember 2021 atau untuk tempoh yang lebih panjang dari itu?

Jadi apa yang kita lakukan sekarang untuk memastikan tahap kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga adalah penentu kemana kita selepas 28 Jun nanti.

Mengambil pengajaran dari pengalaman lalu, ketika pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sudah sebut awal lagi, mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah wajib jalani kuarantin.

Tetapi ada pihak yang berfikir tidak perlu berbuat demikian jika tidak bergejala atau tidak disahkan positif Covid-19.

Akhirnya kerisauan Dr Adham dan Dr Noor Hisham dari Kementerian Kesihatan Malaysia itu ada benarnya. Gelombang ketiga telah tercetus dan merebak ke seluruh negara dengan pantas. Malangnya, gelombang tersebut masih belum nampak tanda-tanda untuk surut atau pulih.

Kali ini Dr Adham terus berpesan kepada kita semua supaya selalu guna petua “amalkan 3W, elakkan 3S” pada setiap hari.

Kerap amalkan Wash, Wear dan Warn (cuci tangan, pakai pelitup muka dan patuh amaran dari KKM). Dr Adham juga sering pesan agar kita sentiasa elakkan 3S iaitu elak sesak (berada di tempat sesak), elak sempit (berada di tempat yang sempit) dan elak sembang dekat (jarakkan antara kita dengan individu lain sekurang-kurangnya satu meter).

Ada pihak yang cuba menafikan cadangan Dr Adham selepas PRN Sabah dulu dengan membiarkan bebas mereka yang kembali ke Semenanjung dari Sabah. Kesannya gelombang ketiga berlaku dengan pantas.

Jadi kalau kita terus menafikan dan tidak mahu mendengar nasihat KKM, kita akan terus berada dalam keadaan sebegini untuk tempoh yang lebih lama dan tak terduga.

Mari sama-sama kita buang ego masing-masing dan ikutilah saranan dari KKM selalu. Gunalah media sosial untuk kit acari maklumat yang bermanfaat, bukan guna media sosial untuk menabur fitnah dan cerita tidak benar.

Penulis : Ahmad Kamal Baba dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Bangi.

 

 

 

BBerkaitan

Latest articles