JOHOR BAHRU: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Ikhtiar BN Johor iaitu dokumen yang dilancarkan oleh Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan sekadar ‘pemanis mulut’ untuk meraih sokongan rakyat.
Sebaliknya Ikhtiar BN Johor yang mengandungi lima ikhtiar tersebut adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan oleh BN sekiranya mendapat mandat rakyat.
“Kita harap dapat mandat yang baik daripada rakyat Johor yang akan dilaksanakan oleh rakan-rakan kerajaan Johor yang baharu nanti.
“Ia merupakan suatu usaha untuk kita membangunkan kesejahteraan dan ekonomi negeri Johor.
“Ia ikhtiar yang boleh dilaksanakan. Bukannya janji-janji cuma nak memenangi hati rakyat. Nak memujuk tetapi akhirnya tidak dapat buat,” katanya di majlis pengumuman dokumen khusus untuk PRN Johor yang dikenali sebagai Ikhtiar BN untuk Johor.
Terdahulu Ikhtiar BN Untuk Johor diumumkan oleh Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad di Bangunan Perhubungan UMNO Johor.
Mengulas lanjut Mohamad berkata, semua usaha yang dilakukan merupakan ikhtiar untuk membangunkan semua Johor yang jauh ketinggalan.
Apatah lagi, Johor sebelum ini pernah menjadi peneraju utama ekonomi dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Tapi malangnya selepas 2018 Johor terkial-kial kerana ketidaktentuan politik dan ketidakstabilannya.
“Alhamdullilah kita telah lancarkan. Saya harap ia jelas dan rakyat Johor dapat menilai apa ikhtiar-ikhtiar yang kita rancang oleh Kerajaan Negeri Johor yang baharu di bawah Datuk Hasni untuk kita terus bekerja selepas pilihan raya.
“Terus menstabilkan keadaan politik serta memakmur dan mensejahterakan rakyat Johor,” katanya.
Sementara itu Mohamad berkata, beliau berpuas hati dengan gerak kerja jentera kempen BN.
“Saya amat berpuas hati dengan gerak kerja yang tersusun dan berfokus oleh jentera kita.
“Walau bagaimanapun jentera perlu bekerja terus sehingga 12 haribulan nanti untuk kita pastikan pengundi-pengundi semua keluar khususnya pengundi yang telah kita kenal pasti.
“Tidak ada apa-apa isu yang boleh membimbangkan atau yang boleh menganggu gugat perjalanan kempen kita semasa waktu berkempen,” katanya.