Idris, 3 Lagi ADUN Melaka Isytihar Hilang Sokongan Terhadap KM

MELAKA: Kedudukan kerajaan negeri Melaka dilihat mula goyah apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan, mengumumkan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Menerusi satu sidang media, kesemua mereka menyatakan menarik balik sokongan kepada kerajaan negeri.

Sejak minggu lalu khabar angin bertebaran mendakwa beberapa ADUN Melaka menangani akuan bersumpah (SD) untuk menarik sokongan terhadap Sulaiman.

Dalam pada itu, Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, beliau bersama Nor Azman yang juga wakil rakyat UMNO bersedia untuk berdepan sebarang tindakan daripada parti itu dan menyerahkannya kepada Lembaga Disiplin parti.

“Saya dan Nor Azman masih lagi bersama UMNO setakat hari inilah. Sebarang tindakan saya serah kepada parti dan kami tunggu dipanggil oleh badan disiplin.

“Kita memang akan berdepan dengan akibat dan sebagainya, bagaimanapun, kami tetap meletakkan kepentingan rakyat atas segalanya kerana banyak perkara tidak terlaksana seolah-olah ‘ada dua singa atas satu gunung’,” tambahnya.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang mendakwa, kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO bakal tumbang pada bila-bila masa.

Ini berikutan empat ADUN kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH) dan difahamkan, keempat-empat ADUN berkenaan sudah menandatangani Akuan Bersumpah (SD).

Idris dan Norhizam yang dikaitkan dengan gerakan berkenaan bagaimanapun sebelum ini menafikan terlibat dengan sebarang usaha menumbangkan kerajaan kepimpinan Sulaiman.

Untuk rekod, Kerajaan Melaka dipimpin Sulaiman dari UMNO selepas PN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada pakatan (PH) yang tumbang Mac tahun lalu.

Kerajaan Negeri mempunyai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala pembangkang pula 11.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Harapan (PH) Melaka akan berjumpa Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bagi mempersembahkan bahawa kerajaan negeri dibawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sudah hilang majoriti.

Ia susulan tindakan ‘berpaling tadah’ empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan yang menyatakan hilang kepercayaan kepada pimpinan sedia ada.

Pengerusi PH Negeri Melaka, Adly Zahari memaklumkan kestabilan politik merupakan asas utama dalam berhadapan pandemik COVID-19 ketika ini.
“Kini jelas bahawa Sulaiman telah hilang kepercayaan majoriti ADUN untuk terus mentadbir kerajaan negeri.

“Ia selaras dengan peruntukan perkara 7(4) Perlembagaan Negeri Melaka yang menyatakan ‘jika Ketua Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN, maka hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat,” katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,871FollowersFollow
21,200SubscribersSubscribe

Terkini