SEREMBAN: Identiti sebenar mayat seorang wanita ditemukan di dalam sebuah beg yang ditanam di belakang sebuah rumah tidak berpenghuni di Kampung Batu 4 Pedas, Rembau semalam masih belum dapat dikenal pasti setakat ini.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Muhammad Idzam Jaafar berkata keadaan itu berikutan jasad mangsa yang sudah mereput dan dipercayai meninggal dunia melebihi tiga hari.
“Kita telah mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) yang dipercayai milik keluarga mangsa dan proses mendapatkan keputusannya akan mengambil masa.
“Bedah siasat telah dijalankan hari ini di Hospital Rembau, namum punca kematian diklasifikan sebagai ‘undetermined’ berikutan keadaan jasad yang telah mereput,” katanya kepada Bernama malam ini.
Beliau berkata tangkapan terbaharu bagi membantu siasatan kes berkenaan melibatkan suspek utama berusia 51 tahun yang ditahan di Genting Sempah, Pahang pada 3.09 petang tadi selepas tangkapan suspek pertama di Melaka, semalam, menjadikan dua individu ditahan setakat ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.- BERNAMA










