Idea Bina Negara Juga Digerakkan Oleh Pengamal Media – PM

 

 

 

KUALA LUMPUR: Tidak terhad hanya menulis dan melapor berita, para pengamal media juga adalah pendorong kepada usaha membentuk idea dalam membangunkan negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata wartawan dan media juga harus bebas memberi pandangan serta kritikan membina kepada kepimpinan negara dalam menjadikan tatakelola pentabiran lebih baik.

 

“ …kita angkat semula keupayaan kita dalam memaknai perpaduan rakyat, bukan hanya golongan sarjana tetapi wartawan harus bebas tegur, kritik dan beza pandangan dengan jalur tetap kepimpinan negara.

 

“Sebab itu saya masih tuntas dengan pandangan tugas wartawan bukan sekadar melaporkan tetapi membimbing idea kepada negara,” katanya dalam ucapan pada Malam Wartawan Malaysia 2023 sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI-Petronas 2022, malam tadi.

 

Berucap lebih lanjut, Anwar menyeru pengamal media untuk bertindak sebagai pendidik kepada masyarakat dengan menanam minat dan mengajak rakyat agar lebih berminat membaca serta menimba ilmu.

 

Tambahnya lagi, setiap rakyat perlu menanam minat membaca yang tinggi supaya apa jua isu yang berlaku dalam negara termasuk soal dasar dan tatakelola dapat dicakna dengan baik.

 

Apatah lagi, negara berhadapan dengan cabaran untuk mengangkat semula keupayaan dalam negara demokrasi berpandukan konsep Malaysia MADANI.

 

Justeru menurut Anwar, kebebasan demokrasi hanya diwarnai jika terdapat wacana yang segar didorong hasil kerjasama dan peranan golongan wartawan.

 

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta timbalannya Teo Nie Ching, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya dan Naib Presiden Eksekutif Petronas Liza Mustapha.

 

Chamil dalam ucapannya pula berkata, bagi edisi 2022, anugerah MPI menerima sebanyak 368 penyertaan pelbagai karya kewartawanan untuk dihakimi berbanding 350 pada 2021.

 

Beliau berkata, selain itu, Petronas bersetuju menaja HKM untuk tempoh tiga tahun lagi mulai 2024 dengan penambahan kategori bagi penyertaan radio dan televisyen.

 

HKM MPI-Petronas ialah acara tahunan bagi mengiktiraf karya kewartawanan sepanjang tahun dengan Hadiah Kajai sebagai pengiktirafan tertinggi kepada wartawan yang melaksanakan tugas dengan cemerlang.

BBerkaitan

Latest articles