Ibu Zayn Rayyan Gagal Tangguh Hukuman Penjara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Hakim Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas meneliti afidavit serta hujahan daripada kedua-dua pihak, dan mendapati tiada keadaan luar biasa yang boleh dijadikan asas untuk membenarkan permohonan berkenaan.

Menurut beliau, ketiadaan elemen “keadaan khas” menyebabkan mahkamah tidak mempunyai justifikasi untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan, memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan satu lagi permohonan penangguhan hukuman di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, pada 31 Oktober lalu, Hakim Syahliza Warnoh turut menolak permohonan serupa yang dikemukakan Ismanira atas alasan sama, iaitu kegagalan menunjukkan sebarang keadaan khas yang membolehkan penangguhan hukuman diberikan.

Ismanira kini menjalani hukuman di Penjara Kajang dan turut diperintahkan menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta wang jaminan RM3,000.

Selain itu, beliau diwajibkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas dibebaskan kelak.

Dalam penghakiman sebelum ini, Syahliza menyatakan bahawa tindakan Ismanira membenarkan anaknya berjalan di belakang tanpa pengawasan mencukupi telah membawa kepada kehilangan kanak-kanak tersebut, yang akhirnya ditemui meninggal dunia.

Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak, satu kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Beliau dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, 30, sebelum ini didakwa bersama atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal.

Bagaimanapun, Zaim dibebaskan pada Julai lalu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

BBerkaitan

Latest articles