Ibu Zayn Rayyan Fail Rayuan Terhadap Hukuman Penjara, Dakwa Sabitan Salah Seksyen

KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, memfailkan petisyen rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya atas kesalahan mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal, tiga tahun lalu.

Peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Ismanira Abdul Manaf, 31, berkata petisyen berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin lalu, antara lain atas alasan pihak pendakwaan dan mahkamah telah tersalah arah dari segi perundangan.

Menurut beliau, walaupun Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan pengabaian, Mahkamah Sesyen mensabitkannya berdasarkan kegagalan memberi pengawasan munasabah, yang sebenarnya merupakan satu kesalahan berasingan di bawah Seksyen 33 akta sama.

“Seksyen 31 dan Seksyen 33 mempunyai elemen serta hukuman yang berbeza. Namun perayu telah disabitkan atas suatu kesalahan yang tidak pernah dipertuduhkan ke atasnya,” katanya ketika dihubungi.

Selain itu, petisyen rayuan turut menyatakan Hakim Mahkamah Sesyen tersalah arah apabila menolak keterangan saksi pembelaan kelima (SD5), seorang pakar yang berkelayakan, semata-mata kerana beliau tidak memeriksa kanak-kanak berkenaan secara langsung.

Menurut petisyen tersebut, penolakan itu adalah tidak wajar memandangkan pihak pendakwaan sendiri bergantung kepada pandangan pakar yang tidak dipanggil memberi keterangan dan juga tidak pernah memeriksa kanak-kanak terbabit, sekali gus menjadikan penilaian keterangan pakar bersifat arbitrari dan tidak seimbang.

Sebelum ini, Ismanira memfailkan notis rayuan melalui Tetuan Haresh Mahadevan & Co selepas tidak berpuas hati dengan sabitan dan keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Syahliza Warnoh, pada 31 Oktober 2025.

Dalam penghakimannya, Syahliza memutuskan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan memerintahkan Ismanira menjalani hukuman penjara serta-merta, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta cagaran RM3,000.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Ismanira didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

BBerkaitan

Latest articles