Ibu Yati Bawa Ajaran Sesat, Dia Yang Patut Minta Maaf

KUALA LUMPUR: Wan Noor Hayati Wan Alias yang dilaporkan menyebarkan agama baru yang dikenali sebagai Agama Melayu patut memohon maaf kepada Yayasan Dakwah Islamaih Malaysia (YADIM) dan umat Islam di negara ini.

Yang Dipertua YADIM, Nasruddin Hassan menegaskan, tidak timbul soal beliau yang perlu memohon maaf walhal bekas wartawan akhbar arus perdana itu telah menimbulkan kekeliruan dan kemusykilan tentang agama kepada masyarakat dan umat Islam.

“Sepatutnya beliau yang kena mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia apabila banyak tulisan yang kita rujuk dalam Facebook beliau sendiri yang sangat mengelirukan dan juga memberi satu kecelaruan umat Islam terhadap fahaman Islam itu sendiri.

“Sehingga ke hari ini, saya tidak menerima saman daripada beliau itu,” katanya kepada pemberita selepas Program YADIM Peduli Musa’adah PKP 2.0 di pekarangan Kompleks Islam hari ini.

Dalam pada itu, Nasruddin menegaskan, tiada istilah Islam Arab dan Islam Melayu sambil mempertahankan Islam yang diamalkan pada hari ini sebagai agama yang diwahyukan Allah melalui al- Quran dan Sunnah.

“Islam itu universal, jadi apabila bawa satu fahaman Islam Melayu dan menolak kononnya Islam yang kita amalkan sekarang ini adalah Islam Arab, jadi ini satu kekeliruan.

“Saya kira dia boleh merosakkan pemikiran umat Islam dan akidah umat Islam dengan fahaman yang disebarkan.

“Kalau saya baca dan meneliti tulisan dia sejak hampir setahun lepas dalam Facebook itu memang sangat bercanggah dengan al-Quran dan sunnah,” katanya

Pada Jumaat lalu, Wan Noor Hayati atau lebih dikenali sebagai Ibu Yati mendesak Nasrudin untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.

Nasruddin, pada baru-baru ini mendakwa Wan Noor Hayati membawa ajaran sesat dan agama baharu, selain menggesa masyarakat Islam tidak terpengaruh.

Wanita yang berusia 41 itu memaklumkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang saman sivil terhadap YADIM.

Menurut Nasruddin, Agama Melayu itu menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan mengakui membawa ajaran Islam Melayu.

Reaksi Nasruddin itu menyusul selepas penularan video berdurasi lapan minit lima saat yang menunjukkan Wan Noor Hayati didakwa menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

Antara lafaz itu ialah iLa Ha iLa Ra iLa Ma dan disambung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali.

Malah Nasruddin menegaskan, tiada keperluan untuk YADIM membuat laporan polis terhadap Wan Noor Hayati kerana sudah banyak pihak telah membuat laporan bekas wartawan itu.

“Saya dapati ada badan bukan kerajaan (NGO) telah buat laporan polis. Atas kapasiti YADIM sendiri tidak perlu, cukup saya beri peringatan supaya masyarakat umat Islam tidak terperdaya dan terpengaruh dengan ajaran tersebut.

“NGO yang buat laporan polis yang telah sampai kepada saya mungkin sudah lebih 10 NGO dan beliau sendiri pun telah buat laporan polis terhadap saya.

“Saya kira perkara ini telah sampai kepada pihak berkuasa, tinggal lagi pihak berkuasa akan menjalankan tindakan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ibu Yati terus mempertahankan dirinya dan mendakwa Nasrudin mendahului tindakan pihak berkuasa agama membuat dakwaan terhadapnya.

Beliau berkata, setakat ini belum ada mana-mana jabatan agama menyoal siasat dirinya cuma ada polis mengambil keterangan ekoran laporan polis yang dibuat.

BBerkaitan

Latest articles