JOHOR BAHRU: Tindakan sepasang tunang tinggal sebilik dalam rumah keluarga membawa padah apabila mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu operasi khalwat di sebuah pangsapuri, awal pagi tadi.
Serbuan dilakukan sekitar jam 2.00 pagi selepas JAINJ menerima aduan awam mengenai kegiatan mencurigakan di kediaman terbabit.
Menurut sumber penguat kuasa, pintu rumah dibuka selepas kira-kira empat minit diketuk, oleh seorang wanita berusia 40-an yang merupakan ibu kepada wanita yang ditahan.
Ketika pemeriksaan, beberapa kanak-kanak dipercayai anak wanita tersebut berada di ruang tamu dan masih belum tidur.
Penguat kuasa kemudian mengetuk pintu sebuah bilik yang berkunci, sebelum ia dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berusia lingkungan 20-an berpakaian tidak sopan.
Di dalam bilik sama, terdapat seorang lelaki berusia 30-an duduk di atas katil.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu berstatus duda dan mempunyai anak, manakala wanita berkenaan masih bujang. Mereka mengaku sudah bertunang sejak dua tahun lalu, namun belum mempunyai tarikh pernikahan,” kata sumber.
Lebih mengejutkan, pasangan itu mengaku bebas keluar masuk bilik bersama dan berkelakuan seperti suami isteri walaupun masih dalam tempoh pertunangan.
“Lelaki tersebut bekerja di Singapura manakala wanita bekerja di Johor Bahru. Mereka berkenalan di sebuah pasar raya dan bertunang, namun hubungan menjadi semakin bebas selepas itu,” ujarnya.
Menurutnya lagi, ibu wanita itu turut mengakui mengetahui tindakan anaknya membawa lelaki pulang ke rumah, namun tidak menegur kerana bimbang anak “merajuk”.
Penguat kuasa memaklumkan tiada unsur pencerobohan kerana kejadian berlaku di dalam rumah keluarga sendiri, namun ia tetap satu kesalahan syariah kerana pasangan bukan mahram berkhalwat.
Pasangan itu dibawa ke pejabat JAINJ untuk tindakan lanjut di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.