Ibu Meraung Lihat Anak Maut Digilis Treler

KUALA LUMPUR: Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun maut dalam kemalangan ngeri selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah treler di Jalan Tangga Batu, Melaka, pagi tadi.

Mangsa, Nurnie Alisya Mohamed Noor, disahkan maut di tempat kejadian selepas digilis kenderaan berat berkenaan kira-kira jam 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke gerai jualan nasi kerabu milik keluarganya.

Lebih memilukan, kejadian tragis itu berlaku tidak jauh dari lokasi ibunya berniaga, menyebabkan wanita itu meraung kesedihan selepas menyaksikan sendiri anaknya maut digilis.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah kiri jalan dan cuba memotong treler yang berada di lorong kanan untuk menuju ke gerai di seberang jalan.

“Namun, pelanggaran berlaku menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh dan digilis treler yang dipandu lelaki berusia 43 tahun. Mangsa, yang difahamkan tidak lagi bersekolah, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka bagi tujuan bedah siasat, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.

BBerkaitan

Latest articles