Ibu Kandung Dan Rakan ‘Tomboi’ Mengaku Tidak Bersalah Aniaya Dan Abai Anak Kandung

JOHOR BAHRU: Seorang ibu kandung bersama rakan serumahnya yang juga warga Singapura, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, sejak bulan lalu.

Bagaimanapun kedua-dua tertuduh, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir, 27, dan rakannya, Awiin Chua, 30, mengaku tidak bersalah selepa pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kandung Nurul Asyiqin ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.

Dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan tinggi sebanyak RM30,000 terhadap setiap tertuduh dengan beberapa syarat tambahan termasuk dilarang menghampiri atau berhubung dengan mangsa.

Peguam, Abd Rahim Ali, yang mewakili kedua-dua tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang lebih ringan memandangkan kedua-dua wanita itu masih belum didapati bersalah.

Beliau turut membantah kenyataan pendakwaan yang menyatakan tertuduh pertama membawa lari mangsa, sedangkan tempat seorang anak sepatutnya adalah bersama ibu.

Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Asyiqin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, manakala Awiin yang juga wanita berperwatakan lelaki, itu dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.

Fatimah turut menetapkan syarat tambahan jamin iaitu kedua-dua tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai dan diberi amaran supaya tidak boleh mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 27 September depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dari Hospital Sultan Ismail (HSI).

Terdahulu tular dua klip video yang masing-masing berdurasi 24 saat dan 32 saat di muat naik dalam twitter Cikgu Suraya pada jam 6.02 petang Sabtu.

Dalam video terbabit memaparkan beberapa individu dipercayai jiran-jiran di kawasan perumahan berkenaan berkumpul di hadapan rumah meminta agar kanak-kanak lelaki berkenaan dibawa keluar.

Video seterusnya berdurasi 32 saat pula memaparkan seorang kanak-kanak lelaki yang mengalami beberapa luka di bahagian belakang badan termasuk kesan lepuh dan berlubang dipercayai akibat didera.

Dua klip video berkenaan turut tular dalam Facebook Layangkasa itu turut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen.

BBerkaitan

Latest articles