BERA: Seorang wanita dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras Sungai Triang, petang semalam, dalam insiden menyayat hati yang menyaksikan beliau sempat menyerahkan anak perempuannya yang masih bayi kepada suami sebelum tenggelam bersama kereta yang dinaikinya.
Mangsa, Sakirah Akop, 31, berada di dalam sebuah kereta jenis Perodua Bezza bersama anak perempuannya yang berusia setahun empat bulan, sementara suaminya sedang memancing berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang berhampiran Pasar Ayam Kerayong.
“Siasatan awal mendapati suami mangsa sedang memancing di tepi Sungai Triang, kira-kira lapan meter dari tempat kereta diletakkan. Tiba-tiba, kenderaan itu bergerak ke hadapan dan terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Tambah beliau, sebelum kereta itu tenggelam sepenuhnya, Sakirah sempat keluar dan menyerahkan anak mereka kepada suaminya.
“Malangnya, selepas itu mangsa dihanyutkan arus sungai dan sehingga kini masih belum ditemui,” katanya.
Anak perempuan pasangan tersebut dilaporkan selamat, manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sejurus selepas laporan diterima pada jam 2.05 petang.
Operasi SAR dimulakan sekitar jam 2.30 petang namun terpaksa dihentikan sementara pada jam 6.20 petang ekoran cuaca semakin gelap dan hujan mulai turun.
“Operasi SAR akan disambung semula pada jam 8 pagi esok (hari ini)” ujar Zulkiflee.
Setakat ini, pasukan penyelamat terdiri daripada JBPM, polis dan agensi berkaitan masih menumpukan usaha pencarian di kawasan sungai berhampiran lokasi kejadian.