Ibu, Dua Anak Warga Rohingya Terbabit Kes Pecah Rumah Di Terengganu, Johor

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga Rohingya dan dua anak perempuannya dipercayai terlibat kes pecah rumah di sekitar Kemaman.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata wanita berusia 33 tahun dan dua anak perempuannya berumur 13 serta 14 tahun itu ditahan 7.05 malam Isnin, ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa, di Kampung Binjai, Kemaman.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah termasuk perhiasan emas, beg, wang tunai, jam tangan dan dua bilah senjata tajam dalam bonet kereta itu.

“Ujian air kencing mendapati suspek utama wanita yang berusia 33 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua anaknya yang di bawah umur, negatif.

“Siasatan awal juga mendapati suspek utama memiliki tiga rekod jenayah lampau dan dalam senarai orang dikehendaki polis berkait kes pecah rumah di Johor,” katanya pada sidang media.

Mazli berkata modus operandi mereka ialah memecah masuk pada waktu siang ketika pemilik rumah keluar bekerja, selain menggunakan nombor plat kenderaan palsu dan menukar nombor itu setiap kali melakukan jenayah bagi mengelak dijejak.

“Suspek juga menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian. Suspek bawah umur akan mengumpan mangsa untuk keluar berbual-bual manakala rakan jenayahnya akan masuk ke rumah untuk menggeledah serta mencuri barangan berharga,” katanya.

Menurut Mazli pihaknya percaya ketiga-tiga mereka adalah anggota sebuah sindiket yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ketua serta anggota sindiket yang lain.

Setakat ini katanya anak-beranak itu mengaku bertanggungjawab terhadap lima kes pecah rumah di sekitar Kemaman dan Johor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya yang juga sedang menyiasat sama ada suspek memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – BERNAMA

BBerkaitan

Latest articles