Ibu Bapa Diminta Beri Ruang Kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah – Fadhlina Sidek

KUALA LUMPUR: Ibu bapa perlu memberi ruang kepada pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sebelum meneliti keperluan untuk mengembalikan sistem peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata PBS dilaksanakan kerana sistem pendidikan negara sebelum ini terlalu berorientasikan peperiksaan.

Bukan itu sahaja, jelas Fadhlina sistem PBS merupakan penilaian bersifat holistik untuk mengetengahkan potensi diri murid yang tidak hanya berpandukan pencapaian peperiksaan akademik semata-mata.

“Saya beri jaminan kepada ibu bapa, beri ruang kepada PBS ini dan kita akan melihat proses anak-anak ini dalam tempoh sehingga habis kitaran PBS dan selepas itu kita akan lihat adakah ada keperluan atau sebaliknya untuk (kembalikan) peperiksaan ini.

“PBS sedia ada masih ada ujian akhir akademik namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi perkara lain turut dinilai termasuk kemahiran lain seperti kemahiran sosial dan bakat murid,” katanya ketika menjadi tetamu jemputan bagi program Ruang Bicara yang disiarkan di Bernama TV malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata PBS turut memberi ruang kepada guru untuk menilai murid bukan sahaja berasaskan pencapaian akademik malah merangkumi aspek pembangunan potensi diri atau proses ansur maju kanak-kanak yang tidak tertumpu kepada satu aspek sahaja.

“Saya beri jaminan kepada ibu bapa, beri ruang kepada PBS ini dan kita akan melihat proses anak-anak ini dalam tempoh sehingga habis kitaran PBS dan selepas itu kita akan lihat adakah ada keperluan atau sebaliknya untuk (kembalikan) peperiksaan ini.

“PBS sedia ada masih ada ujian akhir akademik namun bukan seperti UPSR atau PT3, tetapi perkara lain turut dinilai termasuk kemahiran lain seperti kemahiran sosial dan bakat murid,” katanya.

Sebelum ini, Fadhlina mengumumkan keputusan untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3, bergantung kepada hasil pembentangan laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (PPPM 2025) yang akan tamat tiga tahun lagi.

Pada April 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai 2021 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun sama.

Dalam pada itu, Fadhlina turut berkata KPM tidak berhasrat untuk melaksanakan dasar baharu buat masa ini sebaliknya mahu memberi tumpuan menangani perkara berbangkit berkaitan isu pendidikan.

“Setiap kali pertukaran kerajaan berlaku, pertanyaan paling besar ialah berkaitan apakah navigasi (arah tuju) KPM selepas ini dan semestinya tumpuan kita seperti diumumkan Perdana Menteri mengenai isu ekonomi serta kos sara hidup.

“Sebab itu KPM tidak berhasrat ketika ini untuk membuat apa-apa dasar baharu, tumpuan kita kepada ekonomi dan kos sara hidup yang sebenarnya memberi kesan kepada KPM dan semua warga pendidikan,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles