KUALA LUMPUR: Seorang wanita bersama anak perey ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta mewah yang diparkir di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda (BBU), Johor Bahru, malam tadi.
Mangsa, seorang wanita berusia 42 tahun, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama anaknya yang berusia 14 tahun sekitar jam 9 malam oleh orang awam sebelum kejadian itu dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, memaklumkan bahawa laporan diterima sekitar jam 10 malam, dan siasatan awal mendapati tiada elemen jenayah dalam kejadian tersebut.
“Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat. Setakat ini, kami mengesahkan tiada unsur jenayah, dan keputusan bedah siasat masih menunggu hasil siasatan makmal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, hari ini.
Berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran petrol di bahagian enjin kereta, yang menyebabkan pemeluwapan gas memasuki saluran pendingin hawa.
Dalam perbualan terakhir mangsa melalui kumpulan WhatsApp bersama rakannya, mangsa memaklumkan dia baru selesai membeli-belah di kawasan sekitar BBU dan berhenti di lokasi kejadian kerana kurang sihat.
Mangsa, yang merupakan ibu kepada tiga anak dan tinggal di Bakar Batu, keluar bersama anak bongsunya pada hari kejadian. Enjin kenderaan didapati masih hidup ketika kedua-duanya ditemukan.
ACP Balveer Singh turut memohon orang ramai memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan, termasuk menyemak rekod kesihatan mangsa.
Kes ini telah diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).