Ibrahim, Dira Dilantik Sebagai Speaker, Timbalan DUN Melaka

MELAKA: Bekas exco kerajaan negeri, Datuk Ibrahim Durum, dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15 hari ini.

Nama Ibrahim dicadangkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan disokong oleh EXCO Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang juga ADUN Gadek, V P Shanmugam.

Ibrahim dalam ucapan sulungnya sebagai Speaker, berjanji akan menjalankan tugas dengan adil serta saksama, dan berusaha sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab atas lantikan itu.

“Saya akan berlaku adil dan saksama dalam menjalankan tugas. Sekiranya saya tidak berlaku adil, bermakna saya juga tidak berlaku adil kepada rakyat yang membuat pemilihan pada pilihan raya lalu.

“Terima kasih serta penghargaan kepada semua ahli Yang Berhormat kerana mengambil keputusan memilih dan berkecuali dalam pelantikan Speaker DUN pada pagi ini.

“Kepada Yang Berhormat Ahli DUN pula, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan syabas atas terpilihnya Ahli Yang Berhormat mengikut DUN masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Ke-15.

Khaidhirah atau Dira, 37, dilantik pada Persidangan Pertama (Khas), Penggal Pertama DUN Melaka Ke-15, hari ini, selepas namanya dicadangkan oleh ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, dan disokong ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Pada sidang DUN Melaka hari ini, seramai 20 ADUN mengangkat sumpah jawatan di hadapan Speaker dengan upacara diketuai Sulaiman, disusuli Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan barisan pembangkang.

BBerkaitan

Latest articles