KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melemparkan kritikan pedas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kabinetnya yang disifatkan sebagai “lembu kenyang”.
Menurut Muhyiddin, kerajaan campuran hari ini gagal mengakui kelemahan, sering menafikan realiti, malah lebih gemar menyalahkan rakyat, kerajaan terdahulu dan pihak lain atas kelemahan pentadbiran mereka.
“Kerajaan ini tidak peduli pada rintihan rakyat dan krisis yang sedang melanda. Sikap angkuh dengan mentaliti ‘kami sentiasa betul’ menyebabkan tiada langkah pembetulan dibuat. Dasar yang dibentangkan pula bercelaru, sarat retorik populis dan tidak konsisten,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025, malam tadi.
Bekas perdana menteri itu turut menegaskan, kegagalan kerajaan Madani terserlah apabila tiada hala tuju jelas ditonjolkan.
“Mereka hilang arah, tidak kompeten, tidak berempati terhadap rakyat, tidak mesra perniagaan dan tidak tangkas menyelesaikan krisis. Segala yang berlaku membuktikan kelemahan mereka mentadbir negara,” katanya.
Muhyiddin menegaskan, perjuangan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan sekadar bagi membentuk kerajaan baharu, tetapi menjadi tuntutan patriotik untuk “menyelamatkan negara”.
“Kemenangan PN penting untuk memulihkan Malaysia daripada kerosakan yang sedang dilakukan kerajaan campuran. Kita mahu rancakkan pertumbuhan ekonomi, tangani kos sara hidup secara berkesan, merapatkan jurang kaum dan wilayah, melaksanakan reformasi institusi sebenar, serta memastikan kestabilan politik dan perpaduan nasional,” ujarnya.