Ibadah Korban, Majlis Kahwin, Tahlil Antara Yang Dibenarkan Bermula 1 Julai

Kesemua majlis sosial, seperti majlis perkahwinan, pertunangan, tahlil dan akikah dibenarkan untuk dianjurkan mulai 1 Julai nanti.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga mengumumkan kerajaan turut membenarkan sambutan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada hujung Julai.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kebenaran penganjuran majlis sosial bermula 1 Julai 2020.

“Majlis sosial yang dibenarkan merangkumi kenduri, majlis perkahwinan dan pertunangan, majlis-majlis lain yang berkaitan dengan agama seperti majlis tahlil, aqiqah dan doa selamat,” katanya.

Namun begitu penganjuran majlis-majlis sosial perlu mengikut standard operasi prosedur yang ditetapkan.

“Kapasiti kehadiran masih kita kekalkan iaitu tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tertakluk kepada saiz ruang veneu tempat itu diadakan.

“Bufet tidak dibenarkan, bagaimanapun kita boleh melonggarkan walaupun ada bufet tetapi dihidangkan oleh pramusaji,” katanya pada sidang media perkembangan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Malah penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka serta merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Bagi aktiviti ibadah korban pula ia dibenarkan di semua masjid, surau dan kawasan yang di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan.

Manakala ibadah korban di negeri-negeri lain pula adalah tertakluk kepada kebenaran pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan SOP Ibadah Korban yang boleh dijadikan rujukan bagi pelaksanaan di negeri-negeri lain.

“Jika negeri yang lain juga membenarkan ibadah korban dilaksanakan secara terbuka seperti biasa, maka SOP tersebut boleh dijadikan rujukan oleh negeri-negeri lain selain daripada Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata selain masjid, surau dan kawasan yang telah mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebanyak 28 Rumah Sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta 31 Rumah Penyembelihan Ruminan Swasta yang dilesenkan oleh DVS dibenarkan untuk menjalankan penyembelihan.

Penganjur juga perlu melaporkan aktiviti ibadah korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terdekat.

BBerkaitan

Latest articles