Hutang Peneroka: PM Tuntut Muhyiddin Mohon Maaf, Akan Kemuka Bukti

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf secara terbuka sekiranya beliau mengemukakan bukti surat bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda telah ditandatangani.

Tegas Anwar, dokumen yang ditandatangani itu dibuat membabitkan RM997 juta pada 27 Jun lalu.

“Tak payah 24 jam, esok 12 jam saya boleh bawa, memang saya tandatangan 27 Jun, dia tak buat kerja, dia tak tahu.

“You cabar begitu, kalau saya tunjuk bukti saya tandatangan, dia kena minta maaf.

“Pasal saya tandatangan 27 Jun, RM997 juta, saya ingat, dia harus minta maaf,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1445 Hijrah Perpaduan, malam tadi.

Muhyiddin, pada semalam menuntut Anwar mengemukakan bukti bahawa perdana menteri itu telah menandatangani surat atau dokumen selaku menteri kewangan bagi meluluskan pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Ia susulan Anwar mendakwa pelupusan hutang itu gagal dilaksanakan sewaktu Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Muhyiddin juga menuntut Anwar menarik balik kesemua kenyataan fitnah tersebut dalam tempoh 24 jam, selain memohon maaf tanpa syarat dan secara terbuka.

Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan sebelum beliau berangkat ke Hanoi, Vietnam hari ini beliau akan menghubungi Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) bagi mengemukakan dokumen pelupusan Felda.

“InsyaAllah sebelum saya ke Vietnam saya telefon KSP untuk keluarkan bagi contoh itu.

“Saya nak dia minta maaf secara terbuka, tak payah (beberapa jam) biar tenang esok,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles