KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Kemboja Hun Manet menyifatkan gencatan senjata yang dicapai sebagai “keputusan bijak” dan merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha beliau menganjurkan rundingan damai di Putrajaya semalam.
Mesyuarat khas yang diusahakan Malaysia antara Thailand dan Kemboja bagi menyelesaikan konfrontasi ketenteraan yang sedang berlaku di kawasan sempadan kedua-dua negara berakhir dengan keputusan yang positif.
Kedua-dua negara bersetuju untuk menghentikan pertempuran mulai tengah malam Isnin, satu langkah penting ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan dan keselamatan.
“Satu keputusan mesyuarat yang bijak, dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengambil inisiatif menyelaras dan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat ini.
“Saya percaya bahawa perjanjian gencatan senjata antara tentera Kemboja dan tentera Thailand ini merupakan asas utama dalam membina kepercayaan bersama dan menambah baik keadaan ke arah pemulihan seperti sediakala pada masa depan,” kata Manet menerusi hantaran di Facebook sejurus kembali dari Malaysia petang semalam.
Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai bertemu buat kali pertama sejak ketegangan tercetus antara kedua-dua negara jiran itu pada 24 Julai lepas.
Kemboja dan Thailand menghadapi krisis diplomatik susulan konflik bersenjata yang berlaku di bahagian utara negara itu.
Dalam hantaran sama, Manet turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Kerajaan China atas sokongan mereka terhadap usaha mencapai gencatan senjata.
Lebih 80,000 orang telah dipindahkan, manakala 13 orang termasuk anggota tentera dan orang awam terkorban sejak konflik tercetus Khamis lepas. – BERNAMA