KUALA LUMPUR: Pemenjaraan Datuk Seri Najib Razak ternyata menyebabkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kehilangan Datuk Seri Najib Razak dan kepimpinannya di dal parti.
Bagaimanapun liabiliti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri itu yang ditanggung UMNO dan BN selama ini sudah hilang sekali gus memudahkan gabungan parti itu berdepan dengan parti-parti pembangkang.
Pemerhati politik dari Akademi Nusantara, Dr Azmi Hassan percaya keputusan Mahkamah Persekutuan semalam walaupun ditangisi namun mengukuhkan lagi strategi dan taktik UMNO dan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Menurutnya, BN mempunyai kelebihan itu kerana kerajaan yang diketuai oleh pemimpin UMNO tidak menggunakan kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk campur tangan dalam kes Najib sehingga boleh menggugat imej parti itu sendiri.
Ia jelas sekali UMNO dan BN memang menjunjung kedaulatan undang-undang dalam erti kata sebenar – bukan sekadar laungan sahaja.
Mengulas mengenai lanjut, Azmi berkata, meskipun Najib sudah dipenjarakan tetapi UMNO dan BN tidak perlu ikon baharu untuk menggantikan bekas perdana menteri yang digelar Bossku itu.
Ini kerana, aura dan kehebatan Najib setakat ini tidak dapat disaingi mana-mana pemimpin dalam UMNO mahu pun parti-parti lain.
“Kita memang tidak dapat nafikan Najib hebat di media sosial, tangkas menjawab dan menepis segala isu dengan fakta yang cukup.
“Jadi, saya tidak nampak ada pemimpin UMNO yang boleh menggantikannya tapi ia tidak mengapa kerana UMNO boleh terus mengambil semangat Najib terutama dalam aspek mengutamakan rakyat dalam segala aspek,” katanya memetik MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, Azmi percaya meskipun BN akur dengan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan hukuman 12 penjara dan denda RM210 juta kepada Najib tetapi ‘layanan’ mahkamah akan dijadikan ‘senjata’ bagi mereka.
Ini kerana, Najib dilihat tidak diberi peluang langsung untuk membela diri selepas segala bukti baharu dan permohonannya untuk menangguhkan prosiding rayuan ditolak oleh mahkamah.
“Ramai melihat Najib tidak diberi peluang langsung untuk mempertahankan dirinya sekali gus menimbulkan rasa simpati terhadapnya,” ujar beliau.
Azmi berkata, walaupun di media sosial ada yang bersorak dengan hukuman yang diterima Najib tetapi masih ada rakyat yang ‘menganalisis’ situasi ini secara diam.
Lebih-lebih lagi keputusan Mahkamah Persekutuan semalam adalah anti-klimaks apabila ia sudah bocor sebelum dibacakan oleh Ketua Hakim semalam.
Dalam hal ini, jelasnya, orang Melayu khususnya yang banyak dibantu Najib selama Ahli Parlimen Pekan itu di tampuk kuasa pastinya sedikit sebanyak mempunyai rasa simpati terhadap beliau.
“Orang Melayu ini simpatinya cepat dan tinggi. Awas ya, simpati ini pastinya diterjemahkan dalam undi pada pilihan raya nanti,” katanya.