KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas didapati bersalah membunuh isterinya dan bayi perempuan mereka yang berusia tujuh bulan, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang menegaskan bahawa hukuman mati adalah wajar bagi Satvender Singh, 39, kerana kesalahan mengambil nyawa seorang bayi.
Satvender, yang merupakan seorang l bekas pemandu lori kelihatan tenang ketika keputusan dibacakan.
Sementara itu bekas adik iparnya terus mengucapkan ‘terima kasih’ atas keputusan mahkamah hari ini dan tidak dapat menahan sebak atas keadilan buat mendiang kakaknya.
Dalam alasan penghakiman, Rhodzariah yang bersidang bersama Hakim Abu Bakar Jais dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil berkata terdapat bukti kukuh yang secara langsung mengaitkan Satvender sebagai pelaku jenayah terhadap isterinya, D Kamaljit, 34, dan anak mereka, Ishilyn Kaur Sandhu.
“Terdapat bukti keadaan yang jelas dan tidak dapat disangkal,” katanya.
Keputusan ini sekali gus mengembalikan penghakiman Mahkamah Tinggi dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini mengurangkan hukuman terhadap Satvender.
Satvender didapati bersalah membunuh isteri dan anaknya di sebuah rumah di Taman Rawang Perdana 2, Rawang, Selangor, antara jam 3.55 pagi dan 4.15 pagi pada 14 April 2016.
Pada 2021, Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman mati terhadapnya bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.
Namun, Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan pertuduhan membunuh isterinya kepada kesalahan menyebabkan kematian dan menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun.
Selain itu, Mahkamah Rayuan turut membebaskan Satvender daripada tuduhan membunuh anaknya.
Pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan bagi mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, manakala pihak pembelaan merayu sabitan atas kesalahan membunuh isteri.
Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Jaafar berhujah bahawa hukuman mati perlu dikekalkan kerana tertuduh bukan sahaja mencekik isterinya hingga mati, malah menyebabkan kematian anak mereka akibat asfiksia (kekurangan oksigen).
“Dia merancang pembunuhan itu dan mereka-reka tempat kejadian jenayah bagi mengaburi pihak polis,” katanya.
Noorhisham menjelaskan bahawa Satvender mencipta senario seolah-olah berlaku pencerobohan di rumahnya dengan memotong kunci mangga pintu belakang dan meletakkannya di lantai bagi menggambarkan adanya pihak ketiga yang menceroboh masuk.
“Almari di bilik tidur utama dibuat seperti ia telah diselongkar,” tambahnya, sambil menyatakan bahawa tertuduh pernah mendera isterinya sebelum akhirnya bertindak kejam membunuh mangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan awam dalam kes ini kerana dua nyawa tidak berdosa telah terkorban dalam keadaan tragis.
Sementara itu, peguam bela Rajpal Singh merayu agar mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun bagi memberi peluang kepada tertuduh untuk berubah.
“Dia tidak akan menjadi ancaman kepada masyarakat kerana akan menjadi warga emas selepas menjalani hukuman,” katanya, sambil menambah bahawa motif pembunuhan masih belum dapat dibuktikan.
Bagaimanapun, peguam S Arvind, yang mewakili ibu Kamaljit, mendesak mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi, dengan alasan kehilangan mangsa telah meninggalkan “kekosongan yang tidak dapat diganti” dalam keluarga mereka.