Hukuman Bertujuan Menegakkan Keadilan, Pengajaran, Bukan Cipta Islamophobia

KUALA LUMPUR: Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain menepis tanggapan orang ramai bahawa hukuman sebat yang dijalankan baru-baru ini di Terengganu seolah-olah mencipta situasi Islamophobia.

Tegasnya hukuman sebat syariah itu tidak dilakukan di tempat yang terbuka sehingga mengundang ramai orang yang melihat hukuman, selain hanya disaksikan oleh umat Islam.

Mohd Amran berkata, kehadiran pihak luar bagi menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat itu pula adalah tertakluk kepada kebenaran Mahkamah Syariah, manakala lokasi yang ditetapkan adalah di masjid.

Apa yang lebih penting adalah, pelaksanaan hukuman itu bertujuan memberi kesedaran kepada umat Islam untuk tidak melakukan kesalahan yang sama.

“Saya juga percaya dengan hukuman sebatan syariah ini akan memberi maklumat dan pengetahuan kepada masyarakat bahawa sebatan syariah sangat berbeza dengan sebatan sivil,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Berkenaan kehadiran khalayak ketika pelaksanaan hukuman sebat itu, Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelaksanaan Hukuman Sebatan di Luar Penjara telah menetapkan bahawa kehadiran adalah sangat terhad dan tertakluk kepada perintah Mahkamah.

Katanya, pelaksanaan hukuman itu hanya boleh disaksikan antaranya oleh seorang Hakim Syarie atau pegawai yang dilantik untuk memastikan hukuman dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan dan Pendakwa Syarie yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Kehadiran pihak lain, ujarnya, bergantung kepada budi bicara dan arahan Mahkamah, yang biasanya mengambil kira sensitiviti dan keperluan menjaga maruah serta keselamatan semua pihak.

⁠”SOP ini tidak menyebut tentang kehadiran khalayak awam secara umum, apatah lagi dalam jumlah besar.

“Sebaliknya, ia menekankan aspek privasi, pengurusan tertib dan pematuhan kepada undang-undang serta etika.

“Hal ini penting untuk memastikan pelaksanaan hukuman tidak disalahertikan atau dijadikan tontonan yang sensasi,” katanya.

Tambah beliau, ⁠isu persepsi masyarakat progresif dan global termasuk dalam pelaksanaan hukuman sebat syariah itu perlu dilihat dalam kerangka menghormati perbezaan sistem perundangan dan nilai budaya.

Jelasnya, Malaysia adalah negara yang unik dengan wujudnya dua undang-undang iaitu undang-undang sivil dan syariah yang secara khusus mengatur hal-hal berkaitan umat Islam di samping undang-undang adat di Sabah dan Sarawak.

“Dalam konteks ini, penting untuk masyarakat memahami bahawa pelaksanaan hukuman ini adalah sebahagian daripada usaha menegakkan keadilan dan menjaga kesejahteraan masyarakat menurut prinsip agama,” ujarnya.

Untuk rekod, Mohd Affendi Awang, 42, menjadi individu pertama yang dihukum sebat sebanyak enam kali dengan disaksikan kira-kira 90 individu di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu.

Hukuman itu diputuskan selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

Selain enam sebatan, tertuduh juga didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda itu.

BBerkaitan

Latest articles