Hukum Haram Tak Boleh Difatwakan Sesuka Hati

KUALA LUMPUR: Senator Datuk Dr. Na’im Mokhtar menegaskan tindakan sesetengah pemimpin politik yang gemar menjatuhkan hukum terhadap pihak yang tidak sealirannya sebagai berbahaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menjelaskan sekiranya situasi itu tidak dikawal atau dicegah, ia boleh mencetuskan bibit perpecahan yang lebih serius, sekali gus mengancam keselamatan negara.

“Saya ingin merujuk kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

“Saya bimbang terhadap kecenderungan pihak mengeluarkan hukum berkaitan syarak tanpa disiplin sepatutnya. Perkara ini boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam.

“Penggunaaan istilah haram mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinisikan kepada enam maksud. Bagaimanapun, umumnya masyarakat mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak iaitu “hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang yang mematuhinya dan dosa bagi orang yang mengingkarinya”,” katanya, hari ini.

Menurut Dr. Na’im, Malaysia mempunyai pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara.

Justeru, beliau berharap, semua golongan menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum yang dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan.

“Semua pihak yang terlibat dalam PRK kali ini dinasihatkan bersaing secara sihat dengan mengemukakan buah fikiran serta idea untuk membangunkan rakyat. Hentikan segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.

“Saya dengan ini menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian agama Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum dan agama dalam negara yang tercinta ini,” katanya.

Di Johor Bahru baru-baru ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat pada PRK Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa, ia sebagai menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya ini, ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” kata Muhyiddin.

BBerkaitan

Latest articles