Hubungan Malaysia, Indonesia turut mencakupi seni budaya seiring konsep MADANI

JAKARTA — Hubungan Malaysia dan Indonesia melangkaui bidang diplomatik dan ekonomi malah merangkumi seni budaya seiring dengan konsep Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata selain hubungan dua hala diplomatik dengan pentadbiran Presiden Joko Widodo serta interaksi dengan pengusaha dan pelabur, pemerkasaan seni budaya turut diberi perhatian.

“Saya mendapat pengalaman mereka dan cadangan untuk meningkatkan hubungan dua hala, juga memperkasa seni budaya,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama selebriti dan di sini malam ini.

Program ‘Santai Bersama Anwar’ dihadiri seniman, seniwati dan pempengaruh terkemuka Indonesia termasuk Mulan Jameelah, Maruli dan Bara Tampubolon, Kartika Putri, Habib Usman, Selvi Kitty serta Melly Goeslow serta artis Malaysia Fazura.

Antara perkara yang dibincangkan pada pertemuan itu ialah usaha memperjuangkan nasib golongan artis, menjadikan seni budaya sebagai medium dakwah, kerjasama artis kedua-dua negara dan peranan mereka dalam menjaga hubungan harmoni dua negara. 

Anwar tiba di sini petang tadi bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-43 yang bermula esok hingga 7 September.

Beliau mengadakan beberapa pertemuan dua hala bersama Rakan Dialog ASEAN antaranya Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada- BERNAMA

 

BBerkaitan

Latest articles