Howard Lee Terima Nasihat Tidak Salah Guna Petikan Ayat al-Quran

KUALA LUMPUR: Pertemuan yang berlangsung antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How pada malam tadi diadakan dalam suasana harmoni.

Malah pemimpin DAP itu menerima baik nasihat mengenai isu tafsiran ayat al-Quran.

Mohd Na’im menyifatkan pertemuan tersebut sangat membina dengan persefahaman bahawa Islam wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.

“Howard Lee bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” kata Mohd. Na’im dalam hantaran di media sosial.

Pertemuan Mohd Na’im dan Anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP itu berlangsung di sebuah hotel di Kuala Kangsar, Perak malam tadi.

Howard sebelum itu dikritik pelbagai pihak berikutan videonya yang memetik ayat al-Quran berhubung konsep taat kepada ulil amri dalam ayat 59 surah al-Maidah.

Beliau kemudiannya tampil memohon maaf menerusi sidang media pada 26 September lalu selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.

BBerkaitan

Latest articles