Hormati Rukun Negara, Jadi Contoh Kepada Rakyat

SRI GADING – Semua pihak yang terlibat dalam  kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dinasihatkan agar sentiasa menghormati prinsip Rukun Negara agar menjadi contoh kepada rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana jika prinsip keluhuran Perlembagaan yang terdapat dalam Rukun Negara itu tidak diamalkan bagaimana mereka boleh menunjukkan kepada rakyat contoh yang baik.

“Semalam sendiri pun saya ditegur, Datuk Mohd Puad Zarkashi pun ditegur berceramah perlu berakhir pada jam 10, tidak boleh lebih dari pukul 10 dan ini adalah ketentuan yang ditetapkan.

“Kalau nak dikira tempat-tempat yang dianggap kubu kuat kepada kami pada UMNO, kami lagi suka kalau dibuat sehingga pukul 12, ia akan memberi limpahan kekuatan kepada kami sebab kami ada jentera di bawah.

“…tapi malangnya saya pun tak terkekang, saya terpaksa kembali di tempat bilik operasi saya, tempat penginapan saya,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke Bangunan Arena Niaga di pekan Parit Yaani di sini, hari ini.    

Beliau ditanya mengenai tular sebuah rakaman yang menunjukkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang memarahi pihak berkuasa apabila meminta supaya menghentikan satu ceramah kempen di pekan Yong Peng pada 26 Februari lepas.

Dalam rakaman itu, Kok dilihat berkeras meminta polis supaya membenarkan mereka berceramah sehingga pukul 10.30 malam ekoran telah terlewat untuk memulakan program yang dirancang.

Bagaimanapun, polis tetap bertegas menggesa agar ceramah tersebut tidak diteruskan mengakibatkan Kok berang dan berkata “tunggu kami jadi kerajaan, kami tidak akan buat SOP yang semacam in”.

Mengulas lanjut Reezal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, rakyat sudah muak dan

jelak dengan sikap biadap yang ditunjukkan oleh pemimpin sepeerti itu.

Katanya, di Johor, rakyat di negeri itu sentiasa bersederhana dan mereka tidak suka orang menghina secara berlebih-lebihan.

Tambah beliau, rakyat di negeri Johor juga suka melihat hati dan budi seorang sehingga ada orang yang dihina tetapi orang itu dapat sokongan yang jauh lebih baik daripada orang yang menghina.

“Jadi, saya rasa gunalah cara untuk cari kemuliaan sendiri-sendiri dengan berkempen secara luhur dan baik,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles