PUTRAJAYA: Semua pihak diminta menghormati proses pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa membuat tuduhan atau tohmahan tidak berasas terhadap kerajaan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses pelantikan tersebut jelas diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan yang menetapkan pelantikan dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Sekarang ini, isu kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara menjadi perhatian seluruh rakyat. Dalam Perlembagaan, sudah dinyatakan dengan jelas — Agong melantik Ketua Hakim Negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Tiga perkara ini sudah diperincikan dalam Perlembagaan, jadi tidak perlulah ada andaian atau tohmahan kononnya Perdana Menteri atau kuasa eksekutif mencampuri urusan ini. Tidak ada keperluan langsung, hormatilah proses sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2025, hari ini.
Saifuddin turut menasihatkan mana-mana pihak agar tidak terburu-buru membuat tuntutan sebelum keseluruhan proses pelantikan disempurnakan mengikut lunas undang-undang.
“Apa juga tuntutan yang mahu disuarakan, biarlah proses ini berjalan dahulu. Lebih-lebih lagi kalau tohmahan yang dilemparkan itu langsung tidak berasas,” katanya.
Terdahulu, Majlis Raja-Raja yang bersidang sejak semalam dijangka membuat pengumuman rasmi mengenai pelantikan Ketua Hakim Negara baharu pada hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memberi jaminan bahawa keputusan pelantikan tersebut diyakini mampu menangkis persepsi negatif berkaitan isu kebebasan kehakiman serta dakwaan wujudnya campur tangan dalam melantik individu ke jawatan tertinggi badan kehakiman negara.