Hishammuddin Jawab Persoalan Kemungkinan BN Bergerak Sendiri Tanpa PN

Konflik dalaman yang berlaku di dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) sejak kebelakangan ini mendorong kepada persoalan sama ada gabungan itu mahu terus meneruskan kerjasamanya bersama Bersatu atau sebaliknya.

Bagaimanapun, Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn membayangkan perkara itu tidak akan berlaku sebaliknya apa yang penting ketika ini adalah memperkuatkan kembali BN.

“Adakah ia menjurus kepada keluar daripada PN dan berdiri sendiri?

“Itu semua kemungkinan tak tentu dan perlu tentukan pada hari ini tetapi apa yang penting akhirnya kita ada penyokong di akar umbi untuk diberikan keutamaan sebelum memikirkan hubungan dengan orang lain, kita perlu fikirkan tentang rumah tangga kita terlebih dahulu.

“Akhirnya sebagai parti politik nasib kita ditentukan dalam keadaan kita memahami harapan daripada akar umbi. Kalau kita tidak faham maka tak lamalah kita memimpin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat BN, malam tadi.

Mengulas perbezaan pendapat dan kritikan ke atas sesetengah pemimpin parti, ujar Hishammuddin ia adalah perkara biasa untuk berbeza pendapat asalkan masih bersama dalam “satu saf.”

Dia menjelaskan spekulasi mengenai mesyuarat BN, memberi gambaran walaupun dalam keadaan politik yang pelbagai kemungkinan namun katanya, pertemuan malam ini berlangsung dengan “semangat kekeluargaan.”

“Apa yang dibincang dalam BN merupakan satu perkara yang bukan sahaja dibincang secara biasa tetapi memandangkan landskap politik hari ini secara telus.

“Petanda bahawa BN bukan saja relevan tetapi keselesaan antara kita yang dah lama dalam rangkaian ini masih lagi wujud.

“Ini saya nampak dari persefahaman, keikhlasan, kejujuran sesama kita.

“Ini satu petanda yang baik. Kita tahu landskap politik di luar itu pelbagai kemungkinan tetapi asalkan kita berada dalam satu saf.

“Boleh berbeza pendapat tetapi akhirnya kita letakkan kepentingan parti dan kepentingan parti mestilah bersandarkan kepada apa yang terbaik untuk rakyat. Dan ini kelebihan pada BN yang kita telah tegaskan dan buktikan,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai sokongan BN terhadap Belanjawan 2021, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata BN kenal dengan pendirian awal untuk menyokongnya.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan lain akan berlaku Khamis ini.

“BN dah buat keputusan dan tak tahu apa berlaku pada Khamis ini. Berdasarkan perkembangan terkini saya lihat tidak ada perubahan daripada apa yang ditegaskan dan diumumkan oleh parti.

“Itu pendirian parti dahulu (sokongan belanjawan) bagi saya apa diumumkan oleh parti, itulah pendirian kita. Kalau ada mana-mana pihak yang lain yang rasa tak puas hati akhirnya mereka perlu lihat kepada apa yang parti putuskan, itu mudah untuk kita melihat ke depan.

“Kalau tidak semua ada pandangan, sentimen, emosi masing-masing. Kalau kita balik kepada apa yang menjadi persetujuan parti, mudah untuk kita lihat ke depan termasuk hari Khamis nanti,” ujarnya.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini