Hisham Mahu Tarik Diri Wakili Najib Selepas Mahkamah Tolak Penangguhan Kes

PUTRAJAYA: Permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memohon menangguhkan kes tetap ditolak lima panel hakim.

Peguam utama yang mewakili pasukan Najib, Hisyam Teh Poh Teik sebelum itu memohon supaya permintaan untuk menangguhkan kes itu dipertimbangkan.

Bagaimanapun Ketua Hakim, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai barisan empat panel hakim lain di Mahkamah Persekutuan tetap bertegas dengan keputusan Selasa lepas untuk menolak permohonan penangguhan dan mahu meneruskan prosiding kes berkenaan.

Hisyam kemudiannya bertindak untuk menarik diri dari terus mewakili Najib atas alasan beliau tidak bersedia bagi mewakili sebuah kes yang besar.

Malaysia Gazette melaporkan bahawa Hisyam turut mengakui keputusan itu sebenarnya amat sukar buat dirinya yang juga kali pertama dalam kariernya melakukan sedemkian namun dirinya tidak berupaya untuk melakukan apa-apa.

Tengku Maimun cuba untuk menghalang tindakan Hisyam sambil menjelaskan itu akan menyebabkan anak guamnya ketiadaan wakil untuk berhujah bagi mempertahankan diri dalam prosiding akhir.

Beliau juga dalam nada tegas berkata, mengikut undang-undang yang termaktub dirinya berhak untuk menghalang beliau berbuat demikian (menarik diri).

Namun kata Hisyam, beliau tetap tidak boleh meneruskannya.

“Adakah anda mahu meninggalkan anak guam anda begitu sahaja? Mahkamah tetap dengan keputusan dua hari lepas, tidak akan membuat sebarang penangguhan pada hari ini. Permohonan anda tidak boleh mahkamah ikut.

“Saya percaya dengan anda, kebolehan anda dan juga barisan peguam bela yang lain dalam pasukan untuk membantu kamu, kamu tidak perlu menarik diri,” kata Tengku Maimun.

Tengku Maimun juga mengingatkan Hisyam bahawa beliau sepatutnya memfailkan afidavit terlebih dahulu sebelum bertindak menarik diri.

“Anda perlu kebenaran mahkamah terlebih dahulu. Kaunsel tidak sepatutnya menarik diri begitu sahaja.

Bagaimanapun Hisyam tetap bertegas dengan keputusannya.

BBerkaitan

Latest articles