KUANTAN: Tindakan biadab memuat naik kandungan menghina agama Islam akhirnya membawa padah apabila seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) ditahan polis awal pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman mengesahkan lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut beliau, permohonan reman akan dibuat dalam masa terdekat bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
Penahanan itu susulan tindakan pemilik akaun “Vikneswaran0102” di platform Thread yang memuat naik gambar memijak al-Quran, sekali gus mencetuskan kemarahan dan kecaman meluas dalam kalangan pengguna media sosial sejak malam tadi.
Rata-rata netizen mendesak pihak berkuasa bertindak tegas tanpa kompromi.
Dalam perkembangan berkaitan, Universiti Malaysia Pahang Sultan Abdullah (UMPSA) memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada individu terbabit merupakan pelajarnya.
Universiti itu menegaskan bahawa sebarang isu menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R) dipandang serius kerana berpotensi mencetuskan ketegangan serta menjejaskan keharmonian masyarakat dan imej institusi.










