KUALA LUMPUR: Aktivis dan pereka grafik kontroversi Fahmi Reza dipanggil polis di Sabah berhubung tindakannya menampal karikatur Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Kota Kinabalu.
Fahmi memberitahu bahawa dia dalam perjalanan ke balai polis untuk disoal siasat polis Kota Kinabalu berkait satu poster yang ditampal di bandar itu.
“Kalau aku tak update sebelum jam 8 malam maknanya aku tidur lokap malam ini,” katanya menerusi aplikasi X miliknya.
Polis dah roger! Dalam perjalanan ke balai untuk disoalsiasat polis KK berkaitan posting Facebook pasal poster Koruptor No. 1 Sabah yang aku tampal di KK. Rasanya ada lebih 10 laporan polis dibuat terhadap aku. pic.twitter.com/lEkMCCxGlK
— Fahmi Reza (@kuasasiswa) December 30, 2024
Fahmi berkata dia disiasat kerana manghasut, salah guna kemudahan rangkaian dan kerana berkelakuan mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
Menerusi hantaran yang sama, Fahmi turut menggunakan tanda pagar #KoruptorNo1Sabah #SatireIsNotACrime #AktaSakitHati
Jumaat lalu, Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) membuat laporan polis terhadap Fahmi kerana didakwa menghina institusi diraja berhubung perlantikan Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah yang baharu.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, aktivis itu telah membuat provokasi terhadap rakyat Sabah melalui karikaturnya yang dianggap menghina Musa sebagai perasuah.