Hilman Dedah Muhyiddin Malu, Kecewa Kekecohan Perhimpunan Agung Bersatu

SHAH ALAM: Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan berasa malu dan kecewa dengan insiden kekecohan yang tercetus ketika beliau menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan ke-8 parti itu, semalam.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idham, yang memaklumkan ia dinyatakan sendiri Muhyiddin menerusi mesej dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

“Muhyiddin menyifatkan insiden itu amat memalukan. Beliau kecewa dan kita telah mengecewakan presiden,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan hari terakhir perhimpunan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

Hilman menegaskan kekecohan berkenaan bukan sahaja mencalar maruah parti, malah mencemarkan imej ahli di mata umum.

“Media melihat sendiri apa yang berlaku. Kita ada tanggungjawab membersihkan nama parti kerana keluarga besar kita tercemar,” katanya.

Beliau turut berkongsi rasa sedih secara peribadi selepas insiden itu.

“Selepas kejadian, saya ke restoran bersama rakan-rakan dan beritahu saya tidak dapat menahan kesedihan kerana kita sudah melukakan hati presiden sehingga beliau menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp,” ujarnya.

Semalam, suasana tenang perhimpunan bertukar tegang apabila Muhyiddin mengingatkan ahli supaya mematuhi perlembagaan parti, namun sebahagian perwakilan bangkit melaungkan rasa tidak puas hati termasuk desakan supaya beliau meletak jawatan.

Kekecohan itu bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh beberapa perwakilan lain.

Sementara itu, Ketua Wanita Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menggesa semua perwakilan kembali menumpukan perhatian kepada misi utama parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Kita ada matlamat lebih besar iaitu menurunkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jangan biarkan kekecohan semalam mengganggu fokus perjuangan kita,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles