Sandakan: Kehilangan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun sejak beberapa hari lalu berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya, pagi semalam.
Kedua-dua remaja itu ditemukan di bahagian penumpang belakang sebuah kenderaan yang diparkir di kawasan Bandar Sejati Walk kira-kira jam 8 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan K Ramasamy berkata, pihak polis menerima maklumat orang awam sebelum bergegas ke lokasi bersama pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati semua tingkap kenderaan tertutup rapat dan berkunci. Barangan berharga milik mangsa masih berada bersama mereka,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati remaja lelaki berusia 18 tahun itu keluar dari rumah pada Jumaat lalu untuk bertemu pelajar berkenaan, namun kedua-duanya gagal dihubungi selepas itu.
“Bapa kepada mangsa perempuan menemui kereta miliknya di kawasan parkir Bandar Sejati Walk sebelum membuka pintu menggunakan kunci pendua dan menemui kedua-dua remaja dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya.
Ramasamy berkata, pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan jenayah atau unsur khianat di lokasi kejadian.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat,” katanya.










