Hilang Pekerjaan Di Kala Isteri Sarat Mengandung, Lelaki Terjun Jambatan Pulau Pinang

GEORGETOWN: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai tertekan selepas diberhentikan kerja bertindak nekad cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang awal pagi tadi, namun sempat diselamatkan oleh orang awam.

Difahamkan, lelaki berkenaan bukan sahaja kehilangan pekerjaan, malah isterinya kini sedang sarat mengandung, dipercayai menambah tekanan emosi yang dialaminya.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Muhamad Nurakmal Azmi, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.20 pagi mengenai seorang lelaki yang dilihat berada di tepi jambatan pada Kilometer 8 arah Georgetown ke Perai.

“Lelaki itu dikatakan berdiri di tepi jambatan dan dipercayai mahu terjun, namun tindakannya disedari pengguna jalan raya yang segera menariknya dari tembok penghadang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pasukan bomba tiba tidak lama kemudian dan mendapati mangsa telah berjaya diselamatkan oleh orang awam.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” jelas Muhamad Nurakmal sambil menambah bahawa pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai penyelamat berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles