“Hilang” Ke Negara Jiran, Ija Serah Diri, Kes Disiasat Laporan Palsu

MUAR: Misteri kehilangan pempengaruh permotoran terkenal, Ija Nizaruddin akhirnya terjawab apabila beliau menyerah diri di Balai Polis Muar hari ini selepas dipercayai melarikan diri ke negara jiran sejak Isnin lalu.

Ija, atau nama sebenarnya Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, sebelum ini dilaporkan hilang oleh adiknya, sehi gga operasi mencari dan menyelamat (SAR) besar-besaran diadakan selama empat hari melibatkan 77 anggota keselamatan lengkap dengan aset darat, air dan udara.

Namun, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz dalam kenyataan rasmi hari ini mengesahkan bahawa siasatan mendapati kehilangan tersebut dipercayai direka untuk kepentingan peribadi.

“Siasatan mendapati mangsa telah menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga sebagai sebahagian daripada rancangannya untuk berpura-pura hilang sebelum melarikan diri ke negara jiran,” kata Raiz.

Lebih mengejutkan, adik mangsa, Tengku Abd Aziz Tengku Zainudin, 30, turut didapati bersubahat dalam kejadian tersebut dan berpura-pura melaksanakan usaha pencarian bagi mengaburi pihak berkuasa.

Polis kini telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan bersubahat dalam kesalahan yang dirancang.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Raiz turut menegaskan bahawa tindakan membuat laporan palsu merupakan satu kesalahan serius yang membazirkan sumber serta masa pihak berkuasa yang sepatutnya digunakan untuk kes-kes sebenar.

“Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan sistem laporan polis untuk tujuan peribadi atau jenayah. Pihak polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles