Hilang 4 Hari, Lelaki Ditemui Rentung Bersama Motosikal

KULIM: Misteri kehilangan seorang lelaki selama empat hari berakhir tragis apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan rentung bersama sebuah motosikal di sebuah ladang di Ladang Anak Kulim, semalam.

Penemuan itu berlaku kira-kira jam 2.25 petang selepas seorang lelaki yang berada di kawasan lereng bukit ladang berkenaan untuk menahan burung terserempak dengan mayat serta motosikal yang telah terbakar.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Zulkifli Azizan memaklumkan, individu terbabit segera meninggalkan lokasi sebelum membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan rentung dan telah mereput, manakala motosikal berhampiran turut hangus terbakar.

Polis kemudian berjaya mengesan waris mangsa melalui semakan ke atas motosikal tersebut.

“Waris memaklumkan mangsa keluar rumah sejak empat hari lalu dan tidak pulang,” katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana disyaki membunuh.

Dalam perkembangan terbaharu, dua lelaki berusia 22 dan 68 tahun telah ditahan awal pagi tadi bagi membantu siasatan dan direman selama empat hari.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

BBerkaitan

Latest articles