Hidupkan Warisan, Bina Kuala Lumpur Moden Berakar Sejarah

KUALA LUMPUR: Usaha memulihara tapak-tapak warisan utama di ibu negara tidak dilakukan semata-mata untuk mengimbau sejarah silam, sebaliknya sebagai langkah strategik memastikan naratif dan nilai sejarah negara terus hidup serta menjadi panduan lintas generasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sejarah Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah perlu sentiasa berakar dan segar agar generasi kini serta akan datang tidak terpesong dengan idealisme sempit dan cita-cita yang menyimpang.

Menurut beliau, kerajaan memperkukuh pendekatan strategik bagi menghidupkan semula tapak warisan utama sebagai pemangkin pembangunan ekonomi bandar yang berteraskan budaya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan Bangunan Sultan Abdul Samad di Dataran Merdeka hari ini, yang turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan menyempurnakan pemuliharaan bangunan ikonik berkenaan.

Anwar menjelaskan, warisan tidak harus dilihat sebagai beban masa lalu, sebaliknya aset bernilai yang mampu merangsang pelancongan, menggerakkan industri kreatif, membuka peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekosistem perniagaan tempatan.

Katanya, inisiatif itu juga selari dengan persiapan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memperkukuh imej Malaysia bukan hanya melalui keindahan alam dan kepelbagaian budaya, tetapi juga kekuatan naratif sejarah dan peradaban.

“Lebih penting, usaha ini mencerminkan aspirasi bersama untuk membina Kuala Lumpur yang moden, indah dan dinamik, namun tetap berpaut kukuh pada sejarah serta nilai,” katanya.

Mengulas skop projek, Perdana Menteri memaklumkan selain enam blok Bangunan Sultan Abdul Samad, pemuliharaan tapak warisan negara yang diumumkan dalam Belanjawan 2026 turut merangkumi Seri Negara dan Carcosa di Bukit Carcosa.

Beliau turut menekankan kepentingan memastikan kemudahan warisan ini dapat dinikmati oleh rakyat, sambil menegaskan pemuliharaan tidak wajar terhenti pada aspek fizikal semata-mata.

“Bangunan warisan mesti dihidupkan, bukan sekadar dipelihara. Ia perlu berfungsi sebagai ruang yang mendidik, menyatukan dan memberi inspirasi,” katanya.

Anwar turut menyuarakan keyakinan bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad bersama keseluruhan kompleks bersejarah itu akan terus menjadi cerminan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan progresif tanpa memutuskan akar sejarahnya.

“Pembangunan sebenar bukan hanya diukur melalui kekuatan ekonomi, tetapi juga jiwa, nilai dan kemanusiaan. Warisan ini perlu terus dimanfaatkan oleh generasi hari ini dan pewaris masa depan,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles