“Hentikan Politik Merapu” – Ahmad Zahid Bidas Penyebaran Akujanji Palsu

KUALA LUMPUR: “Hentikanlah politik menipu dan merapu seperti ini. Dulu mungkin mudah untuk mereka membohongi dan memperdaya rakyat dengan taktik sebegini.

“Hari ini rakyat Malaysia adalah masyarakat yang rasional dan mudah memahami antara kebenaran dan kebatilan. Tidak sukar mereka `membaca’ pembohongan itu.”

Demikian peringatan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung penyebaran akujanji yang kononnya perlu ditandatangani kesemua calon gabungan itu.

“BN bukan seperti parti lawan yang akan menggugurkan kes pemimpin mereka sebaik sahaja berkuasa,” katanya lagi.

Ahmad Zahid juga menegaskan penyebaran fitnah seperti itu menunjukkan parti lawan seperti berada dalam ketakutan dan gentar dengan bayang-bayang sendiri.

“Mereka fikir BN macam mereka agaknya sejurus menang PRU14 dan jadi kerajaan terus menggugurkan kes-kes mahkamah melibatkan pemimpin mereka.

“Kemudian menzalimi pemimpin-pemimpin BN yang setia mempertahankan parti dan `membelai’ yang tunduk serta patuh kepada tuntutan mereka.

“Sebab itu kita percaya lawan BN sedang takutkan bayang-bayang sendiri. Cemas kerana overthinking selepas apa mereka lakukan. Bimbang what you give you get back,” katanya.

Bagaimanapun penyandang Parlimen Bagan Datuk yang sekali lagi akan bertanding di kerusi yang sama percaya perbuatan tersebut akan dihakimi para pengundi 19 November nanti.

Malah beliau percaya fitnah sedemikian rupa akan menjadi asas penolakan kepada parti lawan dan menggagalkan usaha mereka menjadi kerajaan semula.

“Seperti mana rakyat Malaysia difitnah pemalas dan cemburu kepada orang kaya. Seperti mana rakyat dibohongi dengan pelbagai janji-janji manis pada PRU14.

“Yakini BN dan undi BN demi Malaysia memperoleh semula sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat serta membawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya.

Tular di media sosial sejak semalam adalah surat akuanji yang kononnya ditandatangani oleh Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah.

Antara kandungan akujanji berkenaan adalah bersetuju memberi jawatan Kabinet utama kepada wakil BN dan UMNO sebagaimana diarahkan Ahmad Zahid dan mencalonkan Presiden UMNO itu sebagai PM.

Malah kononnya calon juga perlu bersetuju menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan BN.

BBerkaitan

Latest articles