KUALA LUMPUR: UMNO kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang menunggang agama demi meraih sokongan terhadap parti politik mereka.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki juga menegaskan syurga dan neraka adalah milik mutlak Allah S.W.T dan tidak ditentukan oleh manusia.
“Syurga dan neraka milik mutlak Allah. Tiada siapa yang boleh menentukan akan masuk neraka jika pangkah parti-parti tertentu.
“Hentikanlah jual beli syurga neraka setiap kali musim pilihan raya. (Sebaliknya) tawarkanlah dasar dan polisi bermanfaat untuk rakyat dan bukannya bergantung kepada kempen adu-domba, menabur fitnah dan menanam benci,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Tanpa merujuk kepada mana-mana pihak, kenyataan calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gerik itu dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pemuda PAS Sik, Mohd Shahiful Nasir yang memberi amaran kepada pengundi bahawa akan ‘masuk api neraka’ sekiranya memilih Pakatan Harapan (PH) dan UMNO/Barisan Nasional (BN) pada PRU-15.