Sekretariat Peguam Muda, Pemuda UMNO Malaysia hari ini menggesa pemberhentian penerbitan dan penyebaran buku “My Story: Justice in the Wildnerss” tulisan Tan Sri Tommy Thomas yang disifatkan sebagai memberi gambaran tidak baik oleh masyarakat dan rakyat terhadap pelaksanaan sistem perundangan serta kehakiman di negara ini.
Pengerusinya, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan berkata buku bekas Peguam Negara itu yang kini menjadi perdebatan pelbagai pihak mengandungi perkataan dan maklumat yang menjadi rahsia sulit kerajaan.
Sebagai seseorang yang menyandang jawatan Peguam Negara dan menjadi penasihat undang-undang kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia ketika itu, Tommy terikat dengan akuan sumpah menyimpan rahsia yang diikrarkan sewaktu dilantik ke jawatan tersebut.
“Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membantah dengan tegas terhadap penulisan Tommy dalam bukunya itu, yang baharu diterbitkan baru-baru ini.
“Kami berpeluang meneliti sebahagian kandungan buku tersebut yang dimuat naik di internet dan mendapati ianya mengandungi perkataan serta maklumat yang menjadi rahsia sulit kerajaan Malaysia.
“Kami percaya undang-undang itu bukan sahaja perlu telus dan adil, tetapi sewajarnya diyakini sebagai adil, barulah perundangan dan kehakiman negara ini dilihat suci oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Nik Saiful Adli yang juga seorang peguam turut membidas Tommy dengan mempersoalkan, apakah keseluruhan penjawat awam dalam bidang perundangan dan kehakiman wajar tercalit dengan penceritaan kisah hitam sebagaimana diceritakannya.
Sedangkan kumpulan berkenaan hanya berkhidmat kepada negara dan rakyat mengikut peruntukan perundangan tanpa mengira siapa yang menjadi kerajaan atau siapa yang menjadi Peguam Negara.
“Kami berpandangan perlu diletakkan titik noktah kepada pencabulan sistem perundangan dan kehakiman sama ada oleh penjawat awam, mahu pun oleh ahli politik supaya sistem perundangan dan kehakiman bersih telus serta adil dalam menjalankan fungsi badan tersebut.
“Segala ulasan Tommy dalam buku tersebut banyak mengandungi peristiwa dan maklumat sulit yang kami anggap bukanlah untuk pengetahuan dan pembacaan umum,” katanya.
Tegasnya lagi, tindakan Tommy itu secara perundangannya melibatkan pendedahan maklumat sulit kerajaan yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Seksyen 203A Kanun Keseksaan, selain menggesa siasatan segera terhadap penulis.
Terdahulu, Nik Saiful Adli dan barisan Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia membuat laporan di Balai Polis Melor, dekat Kota Bharu, tengah hari tadi, bagi menggesa siasatan terhadap Tommy.