Hayati Kewujudan Malaysia, Bersama Eratkan Persaudaraan Kaum – TPM

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat diajak bersama memperkukuhkan ikatan persaudaraan serta keakraban kaum yang pelbagai di negara ini sebagai usaha menghayati dan meraikan penubuhan Malaysia dengan penuh rasa bangga dan berjiwa bangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata semangat persaudaraan kukuh mampu memperkuatkan lagi integrasi nasional dengan erti merdeka yang sebenar antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Fadillah turut mengajak rakyat mengenang jasa dan pengorbanan Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh Sabah dan Sarawak yang menjayakan pembentukan Malaysia.

“Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia. Hentikan sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara.

“Kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian,” katanya menerusi perutusan Hari Malaysia di Facebooknya.

Beliau berkata, seluruh rakyat harus menghargai setiap perkara yang negara miliki melalui semangat kebersamaan kerana kekukuhan dan kemajuan dikecapi negara adalah hasil perjuangan bersama.

Katanya, Hari Malaysia harus menjadi medan untuk mengintegrasikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung ke arah agenda pembangunan lebih berdaya maju, demi kelangsungan negara bangsa Malaysia yang tercinta.

“Marilah kita semua menghayati makna Hari Malaysia supaya generasi akan datang dapat memiliki Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Hari ini, seluruh rakyat meraikan Hari Malaysia dengan sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, malam ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengajak rakyat menghayati erti sambutan Hari Malaysia yang bersejarah.

“Walaupun kita lahir pelbagai dan berbeza (latar belakang) bukan bermakna ia menjadi kekangan untuk kita mengekalkan keharmonian yang utuh terjalin dalam kalangan keluarga besar kita.

“Semarakkan sambutan Hari Malaysia pada tahun ini sebagai bukti kecintaan kita pada negara seiring dengan tema sambutan #MalaysiaMadani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

BBerkaitan

Latest articles