KUALA LUMPUR: Selepas tewas dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK), Bersatu juga dilaporkan akan berdepan dengan situasi yang sama menerusi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, akan datang.
Perkara itu ditegaskan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed sambil menambah, Bersatu akan mengalami nasib sama seperti parti Semangat 46 iaitu parti serpihan UMNO yang sudah dibubarkan.
Dakwa Jazlan lagi, Bersatu kini semakin malap di Johor dan PRK DUN Mahkota menjadi tanda tanya yang jelas berkenaan nasib parti itu yang lahir di negeri ini.
“Bersatu mungkin akan bertemu titik akhirnya. Bagi saya, apa yang bakal berlaku di Mahkota nanti bukan mungkin, bukan sekadar kekalahan, tetapi lebih kepada cerita kejatuhan sebuah parti yang asalnya dibina dengan penuh cita-cita dongeng, tetapi berakhir dengan keadaan memalukan.
“Itulah kesudahan parti yang majoriti pemimpinnya mementingkan diri sendiri, mengejar jawatan dan kekayaan tapi tidak berkorban harta dan jiwa untuk ahlinya.
“Bagaimana hendak meyakinkan rakyat,” soalnya dalam satu dalam kenyataan hari ini.
PRK DUN Mahkota menyaksikan BN mempertaruhkan Syed Hussien, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada PRN yang lalu manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.