KUALA LUMPUR: “Hati kena kental, namun fikiran sentiasa terbuka dan berlapang dada,” itu nasihat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki yang menjadi pedoman bagi pemimpin muda parti dalam menghadapi kritikan dan perbezaan pendapat.
Dr Asyraf menegaskan, prinsip seorang pemimpin adalah untuk berlapang dada, selaras dengan ajaran Imam Syafie Rahimahullah yang mengingatkan bahawa tidak semua pendapat kita betul, dan tidak semestinya pendapat orang lain salah.
Menguatkan lagi pendirian itu, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihati pemimpin sayap pemuda termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh agar bersedia menerima kritikan dan tidak mudah berputus asa walaupun pandangan mereka tidak diterima sepenuhnya.
“Dalam politik, tidak semua orang bersetuju dengan kita. Jika ada perbezaan pendapat, tangani dengan jelas, bukan dengan tindakan lain. Saya sendiri pernah tersungkur, tetapi itu tidak menghalang kita untuk bangkit semula,” kata Zahid ketika menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Warga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
Terdahulu, Dr Akmal melalui Konvensyen Pemuda UMNO mencadangkan agar UMNO menghentikan kerjasama dengan DAP dan menekankan penyatuan ummah untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Barisan Nasional akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran dan menolak sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada.










